Sesi Meja Bulat dan Kolaborasi Strategik Dengan Politeknik Sandakan
Sandakan, Sabah – Satu Sesi Meja Bulat dan Kolaborasi Strategik Industri telah diadakan di Kampus Politeknik Sandakan pada 2 April 2026, melibatkan penyertaan rakan-rakan strategik industri termasuk Ko-Nelayan. Sesi ini telah dipengerusikan oleh Tuan Mohd Sahran @ Awang Bin Mohidin, Pengarah Politeknik Sandakan, Sabah.
Ko-Nelayan merupakan antara rakan strategik industri kepada Politeknik Sandakan dalam usaha memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan sektor industri.
Hadir dalam sesi ini ialah YBhg. Datuk Haji Yusof Haji Ag. Besar, Pengurus Besar Ko-Nelayan bersama Puan Dahara Hj. Paro, Penolong Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Nelayan serta Tuan Muhandri Mirul, Pengurus Wilayah Ko-Nelayan Sandakan.
Sesi meja bulat ini bertujuan untuk membincangkan aspek kebolehpasaran pelajar, di samping meneroka peluang-peluang ekonomi serta keusahawanan yang berpotensi untuk diperkembangkan. Perbincangan turut memberi fokus kepada pembangunan industri perikanan, khususnya dalam bidang akuakultur dan pemprosesan makanan.
Melalui kolaborasi strategik ini, diharapkan sinergi antara pihak industri dan institusi pendidikan dapat diperkukuh bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta menyokong pertumbuhan ekonomi sektor perikanan secara mampan.
Ko-Nelayan komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam menjalin kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada pembangunan industri serta kesejahteraan komuniti nelayan.
PENERAJU TRANSFORMASI NELAYAN SABAH MAJU JAYA
UKK KO-NELAYAN
#konelayansabah #SabahMajuJaya
Kembali ke Aktiviti 2026