KO-NELAYAN Perluas Jaringan Pasaran Produk Hiliran Perikanan ke Pasaran Antarabangsa
JAKARTA, INDONESIA | 4 – 6 NOVEMBER 2026
Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (KO-NELAYAN) menyertai pameran Salon International de l'Alimentation (SIAL) Interfood Inspire Food Business Indonesia 2026 yang berlangsung pada 4 hingga 6 November 2026 di Jakarta International Expo, Kemayoran, Jakarta Utara, Indonesia.
Penyertaan KO-NELAYAN ini adalah atas jemputan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) sebagai sebahagian daripada usaha memperluas jaringan pasaran, meningkatkan pendedahan produk serta memperkukuh potensi eksport produk berasaskan perikanan dan halal ke pasaran antarabangsa.
Sepanjang pameran ini, KO-NELAYAN mempromosikan produk hiliran perikanannya, iaitu Keropok Ikan dan Keropok Syiling dalam pelbagai perisa, di samping membawa bersama produk-produk usahawan bimbingan KO-NELAYAN. Penyertaan ini turut menjadi platform strategik untuk memperkenalkan keunikan dan kualiti produk keluaran Sabah kepada pengunjung, pemain industri serta bakal rakan niaga dari Indonesia dan negara-negara lain.
Pavilion Sabah turut menerima kunjungan TYT Dato' Muzafar Shah Mustafa, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, yang disambut oleh Tuan Haji Suhaib bin Datuk Haji Ismail, Timbalan Setiausaha Tetap I MINDET.
Kunjungan tersebut mencerminkan sokongan terhadap usaha mempromosikan produk tempatan Sabah serta membuka lebih banyak peluang kerjasama perdagangan dan perniagaan di peringkat antarabangsa.
KO-NELAYAN berharap penyertaan dalam pameran ini dapat membuka peluang pasaran baharu, memperkukuh kedudukan produk hiliran perikanan Sabah serta membantu usahawan bimbingan KO-NELAYAN menembusi pasaran eksport, khususnya dalam sektor makanan dan produk halal.
#konelayansabah
#ukkkonelayan
#SIALIndonesia2026
#SIALFoodAndDrinks
#ProdukSabah
#ProdukPerikanan
#UsahawanSabah
#ProdukHalal
#SabahMajuJaya