Kenyataan Rasmi Ko-Nelayan
AMARAN PENIPUAN: PENYALAHGUNAAN NAMA DAN LOGO KO-NELAYAN SERTA IDENTITI PENGURUSAN TERTINGGI
Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (KO-NELAYAN) ingin memaklumkan kepada orang ramai, khususnya usahawan dan rakan niaga KO-NELAYAN, bahawa pihak kami telah mengesan satu kegiatan penipuan yang melibatkan penyalahgunaan nama dan logo rasmi KO-NELAYAN serta nama dua orang pegawai Pengurusan Tertinggi KO-NELAYAN tanpa kebenaran.
Individu yang tidak bertanggungjawab tersebut dipercayai telah menghubungi beberapa orang usahawan KO-NELAYAN dan membuat tempahan produk.
Sehubungan dengan itu, KO-NELAYAN mengesahkan bahawa penyalahgunaan identiti organisasi dan pegawai berkenaan bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai urusan rasmi yang sah semata-mata berdasarkan penggunaan nama atau logo KO-NELAYAN.
KO-NELAYAN ingin menegaskan bahawa orang ramai dan para usahawan hendaklah sentiasa membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap sebarang tempahan, pesanan pembelian atau urusan transaksi yang meragukan, khususnya yang menggunakan nama pegawai Pengurusan Tertinggi atau identiti rasmi KO-NELAYAN.
Untuk makluman, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa, KO-NELAYAN menasihatkan semua usahawan dan rakan niaga supaya:
1. Jangan mudah mempercayai tempahan yang dibuat hanya berdasarkan penggunaan nama, logo atau identiti pegawai KO-NELAYAN.
2. Sahkan kesahihan setiap urusan melalui saluran komunikasi rasmi KO-NELAYAN sebelum menerima tempahan atau menyerahkan produk.
3. Jangan membuat sebarang bayaran atau menanggung kos bekalan berdasarkan arahan yang meragukan tanpa pengesahan sewajarnya.
4. Simpan semua bukti komunikasi dan transaksi, termasuk nombor telefon, mesej, dokumen tempahan dan maklumat berkaitan, sekiranya terdapat unsur penipuan.
5. Laporkan segera kepada pihak polis sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini.
6. Jangan sewenang-wenangnya berkongsi maklumat atau dokumen syarikat/peribadi, termasuk pendaftaran SSM, nombor akaun bank dan dokumen berkaitan kepada individu yang identitinya belum disahkan sebagai pegawai KO-NELAYAN.
KO-NELAYAN memandang serius perkara ini kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian kewangan kepada usahawan, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kepercayaan terhadap organisasi.
Orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi KO-NELAYAN bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
Sebarang pertanyaan atau pengesahan berkaitan urusan rasmi boleh dibuat melalui saluran komunikasi rasmi KO-NELAYAN.
JANGAN MUDAH PERCAYA. SAHKAN SEBELUM BERURUSAN. LINDUNGI DIRI DARIPADA PENIPUAN.
Terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua.
Unit Komunikasi Korporat
KORPORASI KEMAJUAN PERIKANAN DAN NELAYAN SABAH (KO-NELAYAN)
#konelayansabah #ukkkonelayan #penerajutransformasinelayan